(Last Updated On: February 3, 2017)

TAMAN Negara Kuala Tahan, Pahang dikategorikan antara hutan simpan paling tua di dunia. Usianya lebih 130 juta tahun, dikatakan lebih tua daripada hutan hujan tropika Amazon di Brazil. Selain pengunjung tempatan, Taman Negara sering menjadi pilihan pelancong asing seperti Belanda, Jerman, Perancis dan Itali sebagai destinasi percutian mereka. Kebiasaannya, mereka datang ke sini sekitar Julai hingga Ogos, iaitu ketika musim panas di Eropah. Tidak hairanlah mengapa Taman Negara sinonim dalam kalangan pelancong atau pengembara mat salih kerana mereka sangat menghargai alam semula jadi. Cabaran laluan berliku, bukit-bukau Tidak keterlaluan mengatakan, dunia mengenali Malaysia menerusi hutan apabila industri ekopelancongan iaitu percutian yang berteraskan sumber dan pemuliharaan alam semula jadi seperti flora, fauna, pantai, tasik serta sungai, mampu menarik perhatian pelancong terutama dari Barat yang teruja mendekatinya, sekali gus menjadikan Taman Negara sebagai ‘lubuk’ percutian mereka. Namun, sebelum sampai ke Taman Negara, pengunjung diuji dengan laluan berliku dan berbukit-bukau terutama dari Jerantut ke Kampung Kuala Tahan. Di kiri dan kanan jalan pula hanya hutan tebal dan sesekali anda akan melepasi ladang kelapa sawit. Sepanjang perjalanan ini, anda akan melalui dua kawasan hutan yang diteroka menjadi kawasan penempatan iaitu Felda Padang Piol dan Felda Sungai Retang. Jadi, pengunjung memerlukan sebuah kenderaan yang berkuasa tinggi, selain tahan lasak untuk menjamin keselamatan dan keselesaan ketika pemanduan.

Pemanduan dinamik

Pengembaraan penulis dan jurugambar ke Taman Negara dengan memandu kenderaan pacuan empat roda iaitu Nissan Navara NP300 serba baharu ketika melalui laluan mencabar sekali gus menguji kesabaran dan kecekapan pemanduan. Enjin turbo 2.5L generasi ketiga dilengkapi transmisi automatik tujuh kelajuan dengan mode manual yang pertama dalam kelasnya. Apabila perlu melalui selekoh tajam dan laluan berbukit, menjadikan perjalanan anda ‘berombak’, justeru penulis selesa menukar pemanduan kepada mode manual untuk menambah lebih kuasa pecutan ketika memotong. Memandu di kawasan pertanian, sememangnya menguji kesabaran apabila perlu mengekori belakang lori membawa muatan berat seperti kelapa dan minyak sawit. Apabila berpeluang memotong, Navara NP300 memberi keyakinan berbuat demikian, tiada keraguan sama ada kenderaan berkenaan mampu memecut atau sebaliknya. Pikap dwikabin menawarkan kombinasi terbaik dengan prestasi pemanduan yang dinamik, ketahanan luar biasa, reka bentuk berani dan teknologi termaju yang menggunakan suspensi belakang jenis multi-link menjanjikan keselesaan serta keselamatan. Navara NP300 tawar kemewahan, keselesaan Navara NP300 bukan saja membuktikan kegagahannya di laluan sukar seperti Jerantut – Kampung Kuala Tahan, malah bertambah ‘garang’ apabila memandu di lebuh raya dari Kuala Lumpur hingga ke Plaza Tol Temerloh. Lampu utama LED dengan lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk boomerang yang pertama dalam kelasnya, membuatkan Nissan Navara serba baharu jadi perhatian kenderaan lain di lebuh raya. Ketika perjalanan jarak jauh dan menuntut masa pemanduan lebih lama, Navara NP300 menawarkan keselesaan dan kemewahan yang boleh diperoleh daripada model premium Nissan lain terutama tempat duduk yang diinspirasikan daripada graviti sifar pertama dalam kelasnya, sekali gus memberi sokongan terhadap tulang belakang pemandu dan penumpang hadapan. Sudut menyandar tempat duduk belakang ditambah baik bersama corong pendingin hawa untuk memastikan keselesaan terbaik kepada penumpang.

  • Facebook
  • Twitter
  • Google+
  • LinkedIn
  • Pinterest
  • Tumblr

PENGALAMAN menelusuri Sungai Tahan dan Sungai Tembeling digemari pelancong asing yang mengunjungi Taman Negara. – Foto Saddam Yusoff

Aktiviti yang dinanti pengunjung sebaik tiba di Taman Negara, selain merentas hutan ialah menelusuri Sungai Tembeling dan Sungai Tahan. Pastinya menelusuri arus deras menaiki perahu jalur sekitar Kuala Trenggan di Sungai Tembeling menjadi acara wajib pengunjung. Begitu juga dengan pengalaman mudik ke hulu Sungai Tahan menuju ke santuari kelah di Lubuk Tenor serta berkelah di Lata Berkoh. Pengunjung pasti teruja menyaksikan kehebatan jurumudi mengendalikan perahu panjang apabila berdepan arus ganas di sepanjang Sungai Tahan, manakala pembantu jurumudi yang sangat arif keadaan sungai, memberi arahan kepada ‘kapten’ demi keselamatan penumpang. Dalam perjalanan ke Lata Berkoh, penulis singgah sebentar di tebing Sungai Tahan untuk melihat pokok tualang bersaiz gergasi yang dipercayai berusia 700 tahun! Memang terlalu banyak keindahan, keterujaan dan keasyikan yang mampu dikutip sepanjang penjelajahan ke Taman Negara.

FAKTA NOMBOR:

* 7,563.46 km persegi – Keluasan daerah Jerantut

* 174 km – Dari Kuala Lumpur

* 1938 – tahun Taman Negara dibuka

INFO:

* Jerantut adalah daerah terbesar negeri Pahang.

* Daerah ini popular dalam kalangan pelancong kerana menjadi pintu masuk ke Taman Negara, sekali gus dikenali Jerantut Bandar Taman Negara.

* Taman Negara asalnya dikenali Taman Negara King George V. Selepas mencapai kemerdekaan, ia dinamakan Taman Negara, dan menjadi antara destinasi ekopelancongan terkenal di Malaysia.

* Laluan ke Taman Negara iaitu Jerantut-Kampung Kuala Tahan sejauh 67 kilometer.

Sumber : Berita Harian, Khamis, 12 Januari 2017

Penulis :Zubir Mohd Yunus (zubir_yunus@bh.com.my)

Pin It on Pinterest

Share This
%d bloggers like this: