(Last Updated On: February 4, 2017)

PENJAGAAN alam sekitar adalah tanggungjawab semua. Sesebuah kerajaan yang bertanggungjawab perlu memikirkan dasar dan undang-undang untuk memastikan masalah alam sekitar seperti jerebu, pembakaran terbuka, pencemaran sungai dan lain-lain lagi akan dapat ditangani.

Alam kurniaan Tuhan ini tidak ternilai harganya. Malang sekali apabila manusia sering alpa ketika mengejar kemajuan, tergamak menodai dan mengorbankan kelestarian alam.

Fenomena pemanasan global merupakan antara kesan negatif utama yang wajar diberi perhatian. Isu ini sudah lama dibincangkan secara serius di negara-negara maju seperti di Eropah, Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan.

Isu ini juga bukan sahaja menjadi perbincangan serius di kalangan badan-badan bukan kerajaan (NGO), tetapi juga menjadi modal berkempen di dalam pilihan raya oleh calon dan parti politik.

Mungkin kesedaran mengenai bahaya pemanasan global masih belum menjadi isu pokok di negara kita.

Pendidikan dan kesedaran tentang isu alam sekitar wajarlah dilakukan secara konsisten.

Kita tidak boleh hanya bising-bising ketika keadaan pencemaran berada pada paras yang membimbangkan, sedangkan tidak pula kita terfikir bagaimana pencemaran itu wujud secara sedikit demi sedikit.

Dalam waktu sama, sesuatu perkara yang boleh membawa kepada pencemaran wajar ditangani dengan serius.

Sebagai contoh, anak-anak kita sejak di sekolah rendah sekalipun sudah diberitahu tentang bahaya penggunaan beg plastik.

Tentu mereka tertanya-tanya kepada ibubapa sendiri mengapa bahan yang bahaya seperti beg plastik masih juga kelihatan banyak digunakan dalam kehidupan seharian.

Kajian menunjukkan beg plastik yang diperbuat daripada beberapa bahan seperti kimia polietilina, propilina dan polivinil klorida (PVC) yang dirawat dengan bahan pelembut (plasticizers) mengambil masa sehingga 20 tahun untuk reput.

Tempoh mereput yang begitu lama pasti memberi impak buruk kepada alam sekitar, sedangkan sekeping beg plastik hanya digunakan untuk beberapa minit sahaja.

Selalunya beg plastik digunakan untuk mengangkat barang dari kedai ke kereta, sebelum kemudiannya dari kereta ke dalam rumah.

Penggunaan yang singkat itu memberi kesan bahawa lebih 70 peratus daripada bahan buangan di tapak pelupusan sampah adalah bahan daripada plastik.

Dalam kiraan dan logik mudah, sekiranya penggunaan bahan berasaskan plastik seperti beg plastik dapat dikurangkan sekali gus dapat mengurangkan bahan buangan di tapak pelupusan sampah itu sendiri.

Saya masih ingat satu ketika dahulu, ibu-bapa kita membawa bakul atau bekas isi barangan sendiri ketika berbelanja di kedai runcit atau di pasar.

Ketika itu beg plastik belum popular digunakan di tengah-tengah masyarakat sepertimana hari ini, namun sudah ada kesanggupan untuk membawa bekas barangan sendiri! Begitulah hebat dan gigihnya ibu bapa kita yang secara tidak langsung dapat menghindarkan masalah pencemaran alam sekitar.

Bayangkan sahaja sekiranya kita dapat bersama-sama kembali kepada amalan yang sederhana itu – barangkali juga dianggap lapuk oleh segelintir orang – maka berapa banyak penggunaan beg plastik dapat dikurangkan?

Bayangkan juga kesan jangka panjang kepada alam sekitar di mana bumi inilah satu-satunya tempat tinggal yang akan kita wariskan kepada generasi anak-anak kita kelak.

Tentulah persoalan kelestarian alam sekitar ini bukan sahaja tertumpu kepada penggunaan beg plastik.

Ada pelbagai punca dan penyebab lain yang boleh memberi kesan buruk. Namun satu usaha bersepadu dan konsisten wajar dilaksanakan daripada mengurangkan penggunaan beg plastik sehinggalah kepada penjagaan sungai dan undang-undang ketat untuk membasmi kebakaran terbuka.

Wajar diinsafi bahawa sesebuah bangsa yang maju itu bukan sahaja diukur dari sudut kemajuan kebendaannya sahaja, tetapi tahap kemajuan pemikiran juga sangat mustahak.

Di situlah punca kepada pembentukan tamadun dan peradaban. Azam inilah yang bagi saya sebaik-baik azam untuk kita memulakan langkah memasuki tahun 2017.

 

Sumber : Sinar Harian, 14 Januari 2017

Penulis : Datuk Seri Mohamed Azmin Ali Menteri Besar Selangor

Pin It on Pinterest

Share This
%d bloggers like this: