(Last Updated On: February 5, 2017)

SHAH ALAM: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam pembentangan belanjawan Selangor 2017 menegaskan, belanjawan tersebut memberi fokus kepada penambahbaikan pengurusan sisa pepejal yang selama ini menjadi isu panas di negeri itu.Ia dilakukan menerusi pelaksanaan aplikasi iClean Selangor yang membolehkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memantau operasi dan pergerakan lori kutipan sisa pepejal.

Menurut Mohamed Azmin, aplikasi itu membolehkan pemantauan secara masa nyata dilakukan dan ini memudahkan pihak berkuasa tempatan mengesan lokasi aduan pengguna.

Ini jelasnya akan mempercepatkan tindakan pematuhan dilakukan.

Bagi tujuan itu, katanya, kerajaan negeri memperuntukkan RM45 juta bagi mengembangkan penggunaan sistem tersebut.


“Sebagai langkah penstrukturan semula pengurusan sisa pepejal dan meningkatkan kecekapan operasi, kerajaan negeri telah melantik KDEB Waste Management Sdn Bhd untuk melaksanakan sebuah projek perintis di Majlis Perbandaran Klang bermula 1Julai 2016.

“Keberkesanan operasi ini adalah hasil daripada penggunaan teknologi pengesan operasi dan pergerakan lori kutipan, para penyelia kawasan dan penggunaan sistem aduan berasaskan aplikasi iClean Selangor yang dipantau terus melalui kaedah real time monitoring (pemantauan masa sebenar) oleh sebuah pusat kawalan.

“Sistem ini juga mampu mengesan lokasi aduan untuk memudahkan pemantauan dan mempercepatkan tindakan pematuhan. Peka dengan keluhan rakyat yang mahukan sistem yang lebih efektif dan pantas,” katanya.

Kerajaan negeri turut memperuntukkan RM20 juta kepada pihak berkuasa tempatan berpendapatan rendah bagi tujuan pungutan sisa pepejal.

Peruntukan RM7.3 juta turut disediakan bagi menaik taraf tapak pelupusan.

September lalu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata selangor mencatatkan kes penyebaran virus denggi dan Zika tertinggi negara kerana kegagalan kerajaan negeri menguruskan sisa pepejal.

Sumber: Astro Awani (31 Oktober 2016)

EditorNuradilla Noorazam

Pin It on Pinterest

Share This
%d bloggers like this: