(Last Updated On: February 3, 2017)

KUALA LUMPUR 19 Sept. – Orang ramai berpeluang mengetahui perkembangan teknologi terkini melalui pameran di KL Converge yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dekat sini.

Penolong Pengurus Projek Teknikal Kontron Asia Pasific Design Sdn. Bhd., Maizalina Mior Jamal membe­ritahu, orang ramai lebih mudah memahami perkembangan itu setelah diberi penerangan tentang peralatan dan teknologi yang dihasilkan oleh syarikat pempamer.

“Mereka berpeluang untuk terus bertanya tentang teknologi yang di­cipta dari segi fungsi dan peralatan yang digunakan serta bertukar pendapat berhubung beberapa perkara.

“Program ini juga merupakan sebuah platform yang memberi peluang kepada mereka yang mempunyai buah fikiran untuk mencipta teknologi baharu dengan berkongsi maklumat bagi bergerak maju ke hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

Bagi pereka grafik Ventures 1337 Sdn. Bhd., Aiman Baharum, 23, pula, selain mengetahui perkembangan teknologi terkini, orang ramai berpeluang merancang untuk menjalankan perniagaan dengan ciptaan baharu.

“Rata-rata pengunjung yang datang ke sini juga mudah berinteraksi serta bergaul dengan para peserta pameran dan masing-masing bertukar pendapat berhubung sesuatu topik yang dibincangkan.

“Perkara itu menunjukkan ramai juga yang berkongsi keinginan yang sama dalam mencipta suatu teknologi baharu untuk digunakan oleh masyarakat,” katanya.

Sementara itu, seorang pengurus kanan di Felda, Anuar Ibrahim, 46, mencadangkan supaya program seumpama itu diteruskan ke negeri-negeri lain supaya lebih ramai mendapat manfaat daripadanya.

“Ramai dalam kalangan masya­rakat yang tidak berpeluang untuk hadir ke pameran ini kerana terletak jauh dari penempatan mereka,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengurus Bahagian Pengurusan Produk Mimos Berhad, Noor Hamizah Harun berkata, pameran itu juga memberi peluang kepada para peserta untuk menonjolkan bahan ciptaan mereka.

“Pada masa yang sama, peserta pameran dapat mengetahui kelemahan serta kekuatan bahan ciptaan mereka melalui kritikan yang diterima oleh para pengunjung yang melihatnya,” ujarnya.

Setiausaha Pertubuhan Warisan Alam Sekitar Malaysia, Asma Haliza Abd. Hamid pula berharap program itu dianjurkan lagi pada masa hadapan dengan promosinya di peringkat sekolah dan universiti diperhebat supaya lebih ramai generasi muda mendapat pendedahan.

“Setakat yang dapat dilihat daripada pameran selama tiga hari ini, penglibatan para pelajar tidak memuaskan dan kita tidak tahu sama ada mereka sedia maklum mengenai program ini ataupun tidak.

“Pihak yang berkenaan perlu mencari jalan dalam menarik perhatian para pelajar atau golongan belia untuk hadir ke program sebegini kerana mungkin mereka mempunyai pendapat serta bakat yang hanya perlu digilap,” katanya.

Sumber : UTUSAN, 20 September 2014

Pin It on Pinterest

Share This
%d bloggers like this: