(Last Updated On: February 11, 2017)

DIPERBUAT daripada polimer hidrokarbon, beg plastik biasa mengambil masa 500 hingga hampir seribu tahun untuk urai.

Beza plastik bio-urai, adalah ia boleh diurai dalam jangka masa lebih singkat.

Bagaimanapun, ia hanya mengurai kepada bentuk plastik yang lebih kecil atau “microplastics”.

Kajian menunjukkan plastik mudah urai juga berisiko mengundang kesan pencemaran seperti plastik biasa, malah lebih buruk.

Kesan lebih buruk

Menurut laporan dikeluarkan Program Alam Sekitar (UNEP) Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), beg plastik bio urai mendatangkan kesan buruk khususnya kepada ekosistem marin.

Di muka surat ‘xi’ ringkasan eksekutif laporannya mengenai sisa plastik dan “microplastics” menyatakan bahawa: “Plastik yang dilabel sebagai ‘mudah urai’ tidak mengurai dengan cepat di laut.”

Ini kerana bahan plastik murah urai seperti digunakan dalam beg-beg plastik hanya terurai pada suhu 50 darjah celcius, dan itu bukan suhu di lautan.

Lebih buruk, “microplastics” ini tidak mudah terapung dan akan tenggelam ke dasar laut sekaligus menjadikan ia mudah dimakan oleh hidupan laut.

Pakar Pengurusan Sisa Pepejal Universiti Malaya, Prof Madya Dr Sumiani Yusoff melihat keadaan itu mampu menimbulkan risiko kesihatan kepada manusia.

“Plastik mudah urai ini, ia hanya mudah urai atau lebih cepat urai tetapi sebenarnya dia tidak hilang di alam sekitar. Ia cuma ‘hilang’ dalam konteks lebih cepat pecah kepada bahan lebih kecil tetapi ia masih berakhir dalam sistem kitaran makanan kita.

“Ini kerana walaupun ia terurai dalam bentuk pertikel yang lebih kecil, ia akan dimakan oleh hidupan marin dan kita manusia berada paling atas kitaran makanan, ia masih lagi balik kepada manusia dan ini pasti akan memberi kesan kesihatan,” katanya.

Tambahnya, proses pembuatan beg plastik mudah urai juga berpotensi mendatangkan kesan alam sekitar lebih buruk, jika tidak dikawal.

“Beg plastik mudah urai memerlukan komponen asing yang perlu ditambah dalam pembuatannya. Apabila kita bercakap tentang proses pembuatan, setiap komponen tambahan memerlukan bahan tenaga untuk pembakaran dan juga bahan-bahan lain. Ia memerlukan pemprosesan dan ini menggunakan tenaga dan sekaligus memberi impak kepada alam sekitar,” katanya.

Tegasnya, perlu ada kawalan dalam pembuatan plastik yang lebih rapi bagi mengurangkan lagi kesannya.

“Sekiranya ia dikawal secara rapi dan teratur oleh agensi kerajaan dan ada sistematik mekanisme pengawalan, pengawasan dan perusahan yang dikawalselia dengan teliti dan teratur, kita boleh pastikan pembuatannya dijalankan mengikut standard piawaian antarabangsa, sekaligus dapat memenuhi kehendak dan hasrat ktia mengurangkan impak kepada alam sekitar,” katanya.

Ubah tabiat

Biarpun ramai sudah terbiasa menggunakan beg plastik dan mungkin sukar untuk mengubah tabiat itu, namun ia dilihat tidak mustahil.

Menurut Pakar Perlakuan Pengguna Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syuhaily Osman, berbekalkan dengan maklumat yang tepat, pengguna bersedia mengubah tabiat penggunaan beg plastik dalam kehidupan seharian.

“Menerusi kajian yang dilakukan, didapati pengguna di Malaysia, majoritinya boleh dikatakan bersedia untuk berubah apabila berkait dengan alam sekitar.

“Apabila diberi maklumat yang secukupnya yang betul berkaitan apa isu-isu yang akan berlaku sekiranya kita tidak mengambil tingkah laku tertentu untuk menyelamatkan alam sekitar kita, mereka akan melakukannya,” katanya.

Biarpun sesetengah pihak melihatnya sebagai satu bebanan, pakar psikologi pengguna menyifatkan dasar mengenakan caj bayaran ke atas beg plastik mampu mengurangkan penggunaannya.

“Ada setengah akan rasa tidak ada masalah untuk membayar caj 20 sen tetapi mungkin kalau mereka tahu tentang maklumat yang tepat tentang kesannya kepada alam sekitar lama-kelamaan dia akan rasa bersalah.

“Memang sesetengah mampu bayar 20 sen itu, tetapi lama-kelamaan mereka akan rasa tidak seronok sebab mengalakkan alam sekitar yang tidak sihat. Jadi sebenarnya mengenakan caj ini boleh berjaya,” katanya.

Salurkan maklumat tepat kepada pengguna

Ekoran maklumat yang tidak sampai kepada pengguna, ia dilihat menimbulkan kekeliruan dan kemarahan sesetengah golongan pengguna ekoran disifatkan sebagai satu bebanan daripada penyelesaian.

Ada juga mempersoalkan sama ada hasil kutipan caj beg plastik benar-benar digunakan untuk penjagaan alam sekitar dan kebajikan komuniti seperti yang diwar-warkan, atau masuk ke dalam ‘kantung’ pengusaha?

Justeru tegas, Dr Syuhaily, kejayaan dasar mengurangkan penggunaan beg plastik memerlukan didikan kempen dan penyediaan bahan pengganti atau alternatif kepada pengguna.

Beberapa negara yang berjaya mengamalkan dasar pengurangan beg plastik juga memperkenalkan skim bayaran balik tunai.

“Mungkin ini boleh diaplikasi di Malaysia, pada mereka tidak menggunakan plastik mungkin bagi dia pengurangan sedikit apabila buat pembayaran di kaunter. Jadi perkara itu akan memberi galakan dan dijadikan motivasi kepada penguna untuk meneruskan tingkah laku ini, katanya.

 Namun, Dr Syuhaily mengingatkan bahawa aspek penguatkuasaan juga memainkan peranan penting dalam menjayakan dasar berkenaan.

“Kalau pengguna tahu ada premis yang memberi beg plastik secara percuma, mereka akan ke sana kerana mahu mengelak bayar caj 20 sen itu. Pengguna akan cari jalan tidak membayar. Jadi seharusnya, pihak penguatkuasa memastikan semua pengusaha juga mematuhi dasar baharu itu,” katanya.

Mencegah lebih baik daripada merawat

Bagi Dr Sumiani, kaedah terbaik adalah menerusi pencegahan dengan berhenti atau kurangkan penggunaan plastik, sebaliknya hanya menggunakan beg kitar semula.

“Kalau kita boleh halang penggunaan beg plastik, itu sebenarnya adalah yang terbaik. Jadi gunakanlah beg kitar semula dalam membeli barangan dan menjalankan kehidupan seharian kita.

“Beg kitar semula adalah langkah terbaik. Kalau kita ingat dahulu ibu atau nenek kita pergi pasar membeli barang, mereka selalunya bawa bakul dan bakul itu akan digunakan berulang kali tanpa memberi kesan kepada alam sekitar,” katanya.

Antara negara yang mengharamkan atau mengenakan caj bagi beg plastik termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Ireland, Australia, Belgium, Taiwan, Switzerland dan New Zealand.

Malah juga negara-negara membangun seperti Kenya, Uganda, Afrika Selatan, China, India dan Bangladesh turut mengamalkan dasar sama.

Manakala di Malaysia, beberapa negeri telah mengamalkan dasar bebas plastik termasuk Melaka dan Pulau Pinang.

Sumber : Astro Awani |

Diterbitkan pada
  • Facebook
  • Twitter
  • Google+
  • LinkedIn
  • Pinterest
  • Tumblr
Januari 27, 2017

Pin It on Pinterest

Share This
%d bloggers like this: