(Last Updated On: February 4, 2017)

SEAWAL pukul 7 pagi, penduduk Kampung Sungai Sepang Besar, Bagan Lalang, Selangor sudah bersiap sedia untuk menyertai Program Pameran dan Ceramah Penjagaan Alam Sekitar dan Khidmat Masyarakat anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama Pertubuhan Warisan Alam Sekitar Malaysia (WASM).

Tidak kira dewasa mahupun kanak-kanak, riak wajah mereka menunjukkan semangat jati diri yang tinggi dalam mencurah tenaga membersihkan kawasan kampung mereka.

Program tersebut merupakan salah satu cabang program tanggungjawab sosial korporat yang diadakan di Pusat Aktiviti WASM Pinggir Sungai Sepang Besar, Bagan Lalang, Selangor pada 25 Januari lalu. Ia mendapat kerjasama seluruh warga penduduk yang berbesar hati menjadi tuan rumah bagi melaksanakan program tersebut.

Menurut Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporat dan Sokongan SKMM, Tengku Zaib Raja Ahmad, kesedaran untuk memelihara dan memulihara alam sekitar harus dipupuk dari rumah lagi.

“Setiap orang perlu tanggungjawab mereka terhadap alam sekitar dan tidak meletakkan beban tersebut kepada pihak kerajaan atau swasta. Apabila setiap orang memahami peranan masing-masing maka, tidak banyak masalah yang timbul di kemudian hari,” katanya yang juga merupakan Pengerusi Bersama WASM.

Dalam program berkenaan, pelbagai acara diatur termasuklah menanam pokok bakau yang melibatkan selebriti dan pelajar sekolah, pertandingan mengutip sampah, aktiviti rekreasi sungai, pertandingan memancing, pameran Go Green, jalur lebar serta aktiviti Klik Dengan Bijak (KDB) yang melibatkan komuniti setempat.

Mendidik

Pelaksanaan program tersebut juga merupakan salah satu usaha mendidik dan menyedarkan masyarakat untuk melibatkan diri dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Usaha-usaha memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan alam sekitar telah banyak dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Justeru itu, sumbangan masyarakat untuk mempraktikkan amalan yang mesra alam memberi impak yang besar dalam menjamin kelestarian alam sekitar.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Jangkauan dan Penglibatan SKMM, Eneng Faridah Iskandar menjelaskan, matlamat program tersebut termasuk melaksanakan program kesedaran awam keselamatan internet yang bertemakan “Klik dengan bijak” dalam kalangan penduduk di kawasan berkenaan.

“Melalui program ini, kami berharap dapat melahirkan masyarakat yang literasi terhadap internet dan mewujudkan rasa tanggungjawab dalam kalangan pengguna internet supaya beretika terhadap pengguna lain,” ujarnya.

Sumber : Kosmo, 5 Februari 2014

Pin It on Pinterest

Share This
%d bloggers like this: